Breaking News
Loading...
Saturday, July 17, 2010

Kelonggaran institusi keluarga punca ibu bapa diabai

Kegagalan orang tua beri pendidikan asas mengenali Allah juga penyebab mereka tak dihormati.

SEBELUM ini kita dikejutkan dengan jenayah buang bayi sehingga mengakibatkan negara seolah-olah berdepan krisis moral yang cukup serius. Keadaan itu menyebabkan badan bukan kerajaan (NGO), Orphan CARE, dengan kerjasama kerajaan menubuhkan Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini atau 'baby hatch'.

Bagaimanapun, selepas reda isu pembuangan bayi, isu anak buang ibu bapa pula semakin bercambah kebelakangan ini. Bagaikan tiada pegangan agama atau pun jahil tentang hukum halal haram. Ada anak yang sanggup meninggalkan bapa di pusat jagaan bukan Islam kerana tidak sanggup menjaganya.

Seperti kata pepatah, seorang ibu atau pun bapa mampu menjaga sepuluh anak, tetapi seorang anak tidak mampu membela nasib kedua-dua ibu bapanya. Gejala ini perlu dilihat dan diamati lebih mendalam oleh seluruh masyarakat di negara ini bagi mencari punca serta di mana silapnya.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, mendakwa gejala anak buang ibu bapa adalah berpunca daripada keruntuhan institusi kekeluargaan yang semakin serius berlaku dalam kalangan masyarakat. Keluarga mempunyai peranan cukup besar bagi menentukan hala tuju ataupun mencorakkan masa depan anak mereka.

Harussani berpendapat, punca anak hilang pertimbangan atau tidak tahu menghargai kedua-dua orang tua mereka disebabkan kegagalan ibu bapa untuk memberi pendidikan yang menjadi asas kepada setiap insan iaitu mengenali Allah serta menghormati kedua-dua ibu bapa. “Institusi kekeluargaan terlampau longgar, asas pertama iaitu keluarga sebagai pendidik pertama kepada anak-anak yakni mengajar mereka mempercayai Allah dan menghormati ibu bapa sudah tiada. Hari ini peranan itu diserahkan sepenuhnya kepada guru.

“Anak perlu dididik bahawa mereka dijadikan oleh Allah melalui ibu bapa dan sebab itu adalah wajib menghormati kedua-dua ibu bapa. Tanggungjawab pertama suami isteri yang bergelar ibu bapa dalam sebuah rumah tangga adalah memberi pendidikan kepada anak,” katanya.

Apabila perkara asas yang sememangnya sudah jelas diterangkan dalam Islam bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memberi didikan agama kepada anak mereka, tetapi gagal dilaksanakan menyebabkan institusi kekeluargaan kini semakin runtuh sehingga anak tidak tahu untuk menghargai orang tua.

Sedangkan dalam Islam juga sudah jelas menyatakan adalah wajib untuk anak itu mentaati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa, apatah lagi mahu menghantarnya ke pusat penjagaan. Sebab itu dalam Islam perkara yang menjadi asas perlu diberi keutamaan kerana jika gagal pada asasnya maka pincanglah institusi keluarga itu.

Sementara itu, tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din, berkata anak tidak sepatutnya menghantar ibu bapa mereka ke pusat perlindungan kerana ia adalah tanggungjawab diamanahkan Allah dan perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku dan jalan penyelesaian segera perlu dicari bagi menangani masalah berkenaan.

Beliau berkata, banyak punca yang menyebabkan anak menempatkan ibu bapa mereka di pusat penjagaan. Ada kes berlaku disebabkan kedua-dua orang tua itu sendiri tidak sanggup tinggal bersama anak mereka kerana tidak tahan dengan kerenah anak mahu pun menantunya.

“Banyak punca sebenarnya perkara ini berlaku, ada yang berpunca daripada orang tua itu sendiri dan ada juga anak-anak. Ada ibu bapa tidak tahan kerenah anak sehingga sanggup tinggal bersendirian. Walau bagaimanapun sebagai anak kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Ibu bapa tidak seharusnya dihantar ke pusat penjagaan,” katanya.

Walaupun apapun alasan dan puncanya anak sepatutnya perlu lebih bijak dalam menangi situasi ini, kerana dalam usia senja ibu bapa mereka tidak lagi memerlukan wang ringgit mahupun hadiah mewah daripada anak mereka, namun cukuplah sekadar belaian dan kasih sayang.

Menyedari akan institusi kekeluargaan hari ini semakin longgar disebabkan oleh kesibukan mengejar kejayaan mahupun kekayaan dunia, maka sudah tiba masanya untuk kerajaan menyemak dan menilai kembali sistem pendidikan hari ini yang lebih mengutamakan keuntungan dunia.

Apakah sistem pendidikan yang ada hari ini memberi tumpuan kepada pembentukan akhlak dan sahsiah anak-anak. Perkara ini penting bagi memastikan negara tidak berdepan dengan pelbagai masalah sosial ketika sedang melangkah untuk menuju ke arah negara maju.

Mungkin juga sudah tiba masanya untuk kerajaan menggubal dasar baru dengan menjadikan pendidikan Islam sebagai subjek wajib lulus bagi peperiksaan utama di negara ini. Umum mengetahui bahawa keruntuhan institusi keluarga dan masalah sosial ini berlaku adalah disebabkan kegagalan mendapat didikan agama sempurna.

Persoalannya, jika perkara ini tidak ditangani dengan sebaik mungkin apakah kita perlu menubuhkan Pusat Jagaan Ibu Bapa Tidak Diingini, sebagai tempat untuk anak-anak meletakkan kedua orang tua mereka jika tidak mahu menjaganya seperti mana ‘baby hatch’?

Sumber: beritaharian

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer